| |
|
Bertarikh pada 15 April 2009 (Rabu) seramai 33 pegawai kadet baru telah melapor diri di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wakaf Tapai, Terengganu. Pada tarikh tersebut, semua pelatih terlibat dengan pendaftaran, pembahagian pakaian pakej, pengukuran pakaian operasi dan penyerahan kunci asrama. Daripada jumlah tersebut, 31 mewakili pegawai kadet lelaki dan hanya 2 mewakili pegawai kadet wanita. Jelas terbayang pada wajah masing-masing, semangat dan tekad serta keazaman yang tinggi untuk menjalani kursus ini dengan jayanya.
Sepanjang tempoh kursus ini pegawai-pegawai kadet akan didedahkan kepada pelbagai modul kebombaan, penerapan disiplin yang tinggi serta nilai-nilai murni yang akhirnya akan membentuk dan melahirkan Pegawai Bomba yang kompeten dan bersedia berkhidmat dalam pelbagai cabaran kerja. Modul-modul bagi kursus ini telah direkabentuk secara khusus yang menggabungkan ilmu pengetahuan, pembentukan sahsiah dan peribadi serta pemantapan rohani dan disiplin yang tinggi. Walaupun tempoh kursus agak singkat namun pelbagai elemen telah dipertimbangkan untuk diberi penekanan dan pengajaran termasuklah teknik dan taktik kerja-kerja kebombaan, penggunaan peralatan khas, pemahaman kepada prosedur prosedur kerja, pengurusan risiko serta kecergasan fizikal.
Bagi Kursus Diploma Sains Kobombaan Siri 2/2009 pada kali ini, PgB Henderi b. Ardimansyah telah beri tanggungjawab sebagai penyelaras dengan dibantu oleh PB Yus Heary b. Mahmud dan PB Zulkifli b. Md. Akhir masing-masing selaku penolong penyelaras 1 dan penolong penyelaras 2. Menjadi cabaran kepada ABPM untuk melahirkan Pegawai Bomba yang berkualiti, memandangkan pegawai-pegawai kadet datang dari pelbagai lapisan dan latar belakang keluarga dan tahap pendidikan yang berbeza. Namun dengan komitmen pihak akademi, di samping tenaga pengajar yang berpengalaman dan disokong oleh kemudahan latihan yang moden dan terkini, maka cabaran ini dapat diatasi dan menjanjikan pengeluaran pegawai atau kakitangan yang dikehendaki oleh Jabatan. Akademi ini bukan sahaja telah diiktiraf oleh IFE (Institute Fire Engineering (UK)) sebagai sebuah akademi yang mempunyai fasiliti dan keupayaan yang setanding dengan institusi kebombaan antarabangsa, bahkan juga mendapat pengiktirafan persijilan MS ISO 9001:2000 dalam skop pemberian latihan kebombaan.
|
|
|